Lesen Pengendali Aerodrom (AOL) diperlukan untuk mengendalikan kawasan (termasuk lapangan terbang atau padang terbang komersial) di mana pesawat komersial berlepas atau mendarat dan terlibat dalam pengangkutan penumpang, mel atau kargo bagi tujuan yang berkaitan dengan aktiviti memberi sewa atau upah (hire or reward). Setiap AOL merangkumi syarat-syarat terperinci yang terikat dengan undang-undang, yang mana ia menyatakan jenis pesawat yang diluluskan, tanggungjawab pengendali, tempoh operasi dan hal-hal seumpamanya yang dianggap perlu oleh CAAM.
Aerodrom milik persendirian yang tidak dibuka kepada pengunaan perkhidmatan pengangkutan awam udara atau aerodrom yang tidak mengutip caj perkhidmatan penerbangan di bawah Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016 adalah tidak tertakluk kepada keperluan pensijilan AOL.
Mana-mana entiti yang mahu memohon AOL hendaklah menghubungi CAAM melalui emel: aerolicence@caam.gov.my untuk menetapkan tarikh mesyuarat pra-permohonan.
Pemohon dinilai berdasarkan beberapa kriteria, termasuk tetapi tidak terhad kepada yang berikut:
- struktur pemilikan pemohon tersebut yang mana sama ada pemohon adalah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia dan dikawal secara langsung oleh syarikat/warganegara Malaysia;
- permintaan bagi pengangkutan udara di kawasan operasi yang dicadangkan;
- pengalaman dan kecekapan pasukan pengurusan syarikat;
- kebolehlaksanaan pelan perniagaan yang dicadangkan;
- daya tahan kewangan perniagan; dan
- kewujudan perkhidmatan lain yang serupa dalam industri.
Keputusan terbaharu berkaitan AOL boleh didapati di sini.
Untuk memperbaharui AOL anda, permohonan bertulis hendaklah dikemukakan melalui aerolicence@caam.gov.my untuk memulakan proses permohonan rasmi. Penilaian dokumen hanya akan dimulakan setelah semua dokumen yang diperlukan dikemukakan sepenuhnya.
Setiap pemegang AOL dikehendaki mengemukakan laporan operasi dan kewangan secara berkala sebagai sebahagian daripada syarat lesen mereka.