Penyelesaian Pertikaian
Sebagai alternatif kepada kaedah penyelesaian pertikaian yang sedia ada, Akta juga memperuntukkan bahawa penyedia-penyedia perkhidmatan penerbangan bolehlah merujuk sebarang pertikaian di antara mereka kepada CAAM untuk mendapatkan penyelesaian. Perkara yang dipertikaikan hendaklah berkait dengan mana-mana perkara di bawah Akta. Jika pertikaian tersebut sedang dalam proses arbitrasi atau perbicaraan di mana-mana mahkamah, maka pihak-pihak terlibat hendaklah memilih hanya satu kaedah penyelesaian yang ingin digunakan dan bukan kedua-duanya.
Mana-mana pihak yang ingin merujuk sebarang pertikaian kepada CAAM hendaklah terlebih dahulu cuba untuk menyelesaikan pertikaian tersebut menerusi pengantaraan seperti yang dikehendaki seksyen 74 Akta. Penyedia perkhidmatan penerbangan hendaklah kemudian memaklumkan tarikh permulaan pengantaraan kepada CAAM dan selepas itu CAAM akan memutuskan bahawa pihak-pihak yang terlibat perlulah menyelesaikan pertikaian mereka dalam tempoh 30 hari atau dalam tempoh masa yang lebih panjang seperti yang diluluskan oleh CAAM tetapi tempoh lanjutan tersebut hendaklah tidak melebihi 60 hari.
Sekiranya pihak-pihak gagal untuk menyelesaikan pertikaian menerusi pengantaraan dalam tempoh seperti yang dinyatakan di atas, CAAM akan membuat keputusan berkenaan perkara tersebut. CAAM akan menyiarkan peraturan-peraturan yang akan mengandungi mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian.
Keputusan CAAM berkenaan pertikaian yang dirujuk kepadanya oleh penyedia-penyedia perkhidmatan penerbangan di bawah Bahagian XI Akta akan disiarkan dan salinan keputusan tersebut akan diberikan kepada pihak-pihak yang terlibat. Keputusan CAAM adalah muktamad dan akan didaftarkan sebagai penghakiman di Mahkamah Tinggi. Jika mana-mana pihak yang dirujuk di dalam keputusan itu gagal untuk mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh CAAM, Mahkamah Tinggi akan mengeluarkan perintah mengkehendaki pihak yang berkenaan untuk mematuhi keputusan tersebut.
(Bahagian XI Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015)