Larangan Menaiki Pesawat
Ada kalanya anda mungkin berdepan dengan situasi di mana anda dilarang daripada menaiki pesawat – mungkin disebabkan oleh tempahan berlebihan bagi penerbangan tersebut atau isu-isu operasi lain. Ini boleh menjejaskan perancangan perjalanan anda. Sesebuah syarikat penerbangan hanya boleh menghalang anda daripada menaiki pesawat jika:
- anda melepaskan tempahan penerbangan secara sukarela; atau
- bilangan orang yang melepaskan tempahan mereka secara sukarela tidak memenuhi keperluan syarikat penerbangan.
Hanya apabila bilangan orang yang melepaskan tempahan mereka secara sukarela tidak mencukupi, barulah sesebuah syarikat penerbangan boleh menghalang anda daripada menaiki pesawat tanpa persetujuan anda.
Tanpa mengira sama ada anda dilarang menaiki pesawat secara sukarela atau tidak, larangan menaiki pesawat hendaklah dilakukan sebelum anda menaiki pesawat tersebut. Sekiranya anda dilarang menaiki pesawat, syarikat penerbangan perlu menawarkan pilihan berikut kepada anda:
- Perubahan laluan ke destinasi akhir menggunakan keadaan pengangkutan yang setanding, termasuk makanan, panggilan telefon, akses internet serta penginapan hotel dan pengangkutan (jika perlu); atau
- Bayaran balik kos tiket sepenuhnya (termasuk cukai dan fi) dalam mod bayaran asal dalam tempoh 30 hari.
Jadual Pertama, Kod Perlindungan Pengguna mengandungi butiran terperinci mengenai pampasan yang anda berhak perolehi.
Ilustrasi – Larangan menaiki pesawat kerana terlebih tempahan oleh syarikat penerbangan
Ali yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tiba di lapangan terbang 3 jam sebelum waktu perlepasan yang telah dijadualkan untuk penerbangan beliau. Walau bagaimanapun, beliau dilarang untuk menaiki pesawat atas sebab terlebih tempahan oleh syarikat penerbangan. Adakah beliau layak untuk mendapat pampasan? Apakah hak-hak pengguna yang boleh terpakai oleh Ali?
- Pesawat terlebih tempahan merupakan situasi di mana syarikat penerbangan telah menjual lebih banyak tiket daripada bilangan tempat duduk yang ada untuk penerbangan tertentu. Ini adalah satu norma industri yang diamalkan oleh kebanyakan syarikat penerbangan di seluruh dunia untuk mengelakkan pembaziran tempat duduk dan kekurangan pendapatan. Apabila berlakunya terlebih tempahan, syarikat penerbangan itu biasanya akan meminta sukarelawan untuk menyerahkan tempat duduk mereka sebagai gantian untuk manfaat tertentu. Jika bilangan sukarelawan tidak mencukupi, syarikat penerbangan itu terpaksa melarang pengguna untuk menaiki pesawat tersebut dan menawarkan pampasan atau jagaan selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
- Dalam kes ini, syarikat penerbangan tersebut haruslah menawarkan Ali yang berikut:
(i) Perubahan laluan ke destinasi akhir menggunakan keadaan pengangkutan yang setanding, termasuk makanan, panggilan telefon, akses internet serta penginapan hotel dan pengangkutan (jika perlu); atau
(ii) Bayaran balik kos tiket sepenuhnya (termasuk cukai dan fi) dalam mod bayaran asal dalam tempoh 30 hari.
Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian III, Perenggan 11: Hak Penumpang Pesawat Udara – Tidak Dibenarkan Menaiki Pesawat.
Ilustrasi – Larangan menaiki pesawat disebabkan dokumen Perjalanan yang tidak lengkap
Ali merupakan seorang warganegara Malaysia yang mempunyai pengesahan tempahan tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Melbourne. Di kaunter daftar masuk, beliau dilarang menaiki pesawat kerana visa yang tamat tempoh dan sah laku pasport yang kurang daripada 6 bulan.
- Adalah tanggungjawab pengguna untuk memastikan bahawa mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan lengkap sebelum perjalanan mereka.
- Dalam kes ini, Ali gagal mengemukakan dokumen-dokumen perjalanan yang diperlukan untuk perjalanan beliau dan syarikat penerbangan tersebut terpaksa menafikan perjalanannya. Ali tidak layak menerima sebarang pampasan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).