-A  +A          

Good Day! Sunday, 17 August 2025

MAVCOM: Pemulihan Sektor Penerbangan Malaysia Kekal Kukuh dengan 8.7 Juta Pengguna Penerbangan pada Februari 2025

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2025 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini mengumumkan prestasi trafik penumpang udara Malaysia bagi Februari 2025, mencatatkan 8.7 juta pengguna penerbangan, iaitu peningkatan sebanyak 6.9 peratus tahun-ke-tahun (YoY) berbanding Februari 2024. Walaupun terdapat penurunan sebanyak 5.9 peratus bulan-ke-bulan (MoM) dari Januari 2025 disebabkan oleh permintaan perjalanan yang kembali normal selepas perayaan Tahun Baharu Cina, permintaan keseluruhan kekal kukuh, didorong oleh peningkatan kesalinghubungan, pengecualian visa, serta tempoh cuti sekolah yang masih berterusan.

Setakat tahun ini, sebanyak 17.9 juta pengguna penerbangan telah melalui lapangan terbang di Malaysia. MAVCOM telah meramalkan jumlah keseluruhan trafik penumpang udara bagi tahun 2025 berada dalam julat antara 105.8 juta hingga 112.9 juta, sekali gus mengukuhkan momentum berterusan dalam sektor penerbangan.

Trafik penumpang udara domestik bagi Februari 2025 mencatatkan 4.3 juta pengguna penerbangan, meningkat 6.6 peratus YoY, manakala trafik penumpang udara antarabangsa berjumlah 4.4 juta, menunjukkan peningkatan sebanyak 7.2 peratus YoY. Trafik udara antarabangsa menyumbang 51.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengguna penerbangan dalam 2 bulan pertama tahun ini, mengekalkan kedudukannya sebagai segmen dominan. Pertumbuhan bagi pasaran bukan ASEAN adalah pesat, dengan 2.6 juta pengguna penerbangan direkodkan pada Februari, menandakan peningkatan sebanyak 10.0 peratus YoY. Pasaran ASEAN pula mencatatkan 2.2 juta pengguna penerbangan, meningkat 4.4 peratus YoY.

Jumlah pengguna penerbangan di lapangan terbang utama terus meningkat, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) mencatatkan peningkatan sebanyak 7.2 peratus YoY, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) meningkat 8.7 peratus, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus. Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) merekodkan kenaikan 5.3 peratus, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) masing-masing mencatatkan pertumbuhan YoY sebanyak 2.3 peratus dan 1.7 peratus.

Trend pertumbuhan positif ini disokong oleh faktor seperti pemulihan kapasiti tempat duduk, pengecualian visa bagi pelancong dari China dan India, serta pengenalan laluan antarabangsa baharu, termasuk Kota Kinabalu–Tokyo (Jepun), Kuala Lumpur–Ürümqi (China), dan Pulau Pinang–Zhangjiajie (China).

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata, “Prestasi trafik Februari mengukuhkan lagi kedudukan sektor penerbangan Malaysia dalam landasan pemulihan dan pertumbuhan yang mampan. Pengenalan laluan baharu serta inisiatif dasar seperti pengecualian visa terus memperkukuh kesalinghubungan penerbangan dan merancakkan pertumbuhan. Seiring dengan perubahan dalam permintaan perjalanan, MAVCOM kekal komited untuk memastikan pemulihan ini disertai dengan kualiti perkhidmatan yang baik, perlindungan pengguna penerbangan yang kukuh dan pemantauan kawal selia yang teguh bagi menyokong ekosistem penerbangan yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.”

Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM)
Privacy Policy