-A  +A          

Good Day! Sunday, 17 August 2025

MAVCOM: Trafik Udara Malaysia Meningkat pada Januari 2025 dengan 9.2 Juta Penumpang

Permintaan perjalanan kukuh, pengecualian visa, dan laluan baharu memacu pertumbuhan berterusan sektor penerbangan

KUALA LUMPUR, 6 Mac 2025 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini mengumumkan prestasi trafik penumpang udara Malaysia bagi Januari 2025 yang mencatatkan 9.2 juta penumpang. Trafik penumpang udara bagi Januari telah mencapai 106.1 peratus daripada paras Januari 2019, menandakan kali pertama ia melebihi jumlah sebelum pandemik dan menunjukkan pertumbuhan berterusan sektor penerbangan Malaysia.

Jumlah penumpang meningkat sebanyak 3.8 peratus bulan-ke-bulan (MoM) dari Disember 2024 dan 28.2 peratus tahun-ke-tahun (YoY) dari Januari 2024, mencerminkan momentum berterusan dalam perjalanan domestik dan antarabangsa.

Pasaran domestik mencatatkan 4.4 juta penumpang, meningkat sebanyak 6.9 peratus MoM dan 32.7 peratus YoY. Sementara itu, trafik antarabangsa pula berjumlah 4.8 juta penumpang, menurun sebanyak 1.2 peratus MoM tetapi meningkat 24.4 peratus YoY. Pertumbuhan trafik antarabangsa dipacu terutamanya oleh pasaran bukan ASEAN, yang mencatatkan 2.6 juta penumpang, bersamaan dengan peningkatan 7.1 peratus MoM dan 34.9 peratus YoY. Sementara itu, trafik ASEAN mencatatkan 2.3 juta penumpang, menurun 4.8 peratus MoM tetapi meningkat 14.2 peratus YoY, menonjolkan kelangsungan kesalinghubungan serantau. Pada Januari 2025, trafik penumpang udara antarabangsa menyumbang sebanyak 52.3 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala trafik domestik pula merangkumi 47.7 peratus.

Lapangan terbang utama Malaysia juga terus mencatatkan pertumbuhan YoY dua digit yang kukuh pada Januari 2025, mengukuhkan lagi trajektori pemulihan. Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) mencatatkan peningkatan sebanyak 25.6 peratus YoY, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) pula meningkat sebanyak 27.5 peratus. Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 27.9 peratus, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) pula meningkat sebanyak 34.5 peratus. Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB) merekodkan pertumbuhan YoY tertinggi pada 41.8 peratus, diikuti oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) dengan peningkatan sebanyak 23.0 peratus.

Pertumbuhan kukuh ini didorong terutamanya oleh permintaan perjalanan yang tinggi semasa Tahun Baharu Cina dan musim cuti sekolah, serta pemulihan kapasiti tempat duduk bagi penerbangan domestik dan antarabangsa. Pengecualian visa 30 hari bagi pelancong dari China dan India juga terus meningkatkan perjalanan masuk, menyumbang kepada pertumbuhan jumlah penumpang secara keseluruhan. Di samping itu, pengembangan kesalinghubungan antarabangsa seperti pengenalan laluan baharu iaitu Kuala Lumpur–Dali (China) dan Tawau–Singapura, turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata, “Pertumbuhan berterusan trafik penumpang mencerminkan kekuatan sektor penerbangan Malaysia dan peranannya yang semakin meningkat dalam kesalinghubungan serantau. Seiring dengan perkembangan industri, MAVCOM kekal komited dalam memastikan landskap penerbangan dikawal selia dengan baik serta berorientasikan pengguna. Bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, kami akan memperkenalkan papan pemuka prestasi yang dinaik taraf, yang bakal memberikan pandangan yang lebih mendalam mengenai metrik utama syarikat penerbangan dan lapangan terbang. Inisiatif ini selaras dengan komitmen kami untuk menegakkan kualiti perkhidmatan dan piawaian operasi, serta menyokong kedua-dua pengguna dan pihak berkepentingan industri dengan maklumat berasaskan data yang bernilai.”

Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM)
Privacy Policy