-A  +A          

Good Day! Sunday, 17 August 2025

Ministry of Transport and MAVCOM Chart Malaysia’s Aviation Pathway

Memperkukuh Kerjasama dalam Kalangan Pihak-Pihak Berkepentingan dan Memupuk Kawal Selia Kendiri sebagai Pemacu Kemajuan

KUALA LUMPUR, 25 Februari 2025 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini menganjurkan satu majlis bagi memaparkan kemajuan terkini hasil kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan penerbangan tempatan dan antarabangsa. Usaha ini bertumpu kepada pemerkasaan perlindungan pengguna, kualiti perkhidmatan, serta prestasi keseluruhan industri penerbangan awam Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, yang hadir sebagai Tetamu Kehormat, menyatakan, “Tahun ini amat bermakna kerana Malaysia memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan sedang berusaha untuk mendapatkan kerusi dalam Majlis International Civil Aviation Organization (ICAO) bagi penggal 2025-2028. Malaysia telah berusaha secara berterusan untuk mempertahankan kerusi Majlis ICAO selama ini, setelah menjadi ahli Majlis ICAO selama enam penggal berturut-turut sejak tahun 2007. Pencapaian ini memberi peluang untuk menunjukkan kemajuan serta komitmen Malaysia terhadap kecemerlangan penerbangan. Oleh itu, kerjasama erat dalam kalangan semua pihak-pihak berkepentingan penerbangan amat penting untuk mencapai matlamat ini.”

Beliau menambah, “Sejajar dengan ini, saya menggesa pihak industri untuk mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh sektor penerbangan. Ini termasuk memodenkan infrastruktur syarikat penerbangan dan lapangan terbang, menarik lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa, serta melabur dalam pendigitalan dan inisiatif mampan. Lapangan terbang kita perlu mencerminkan kecekapan dan inovasi, menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar serta menepati piawaian global. Membina tenaga kerja yang berkemahiran tinggi serta persediaan menghadapi cabaran luaran seperti ketidaktentuan ekonomi, gangguan rantaian bekalan, dan perubahan dalam jangkaan pengguna juga sama pentingnya. Untuk terus maju, kita perlu tangkas, berpandangan jauh, dan melangkaui sekadar pematuhan peraturan, dengan berusaha mencapai kecemerlangan di setiap peringkat. Pemikiran ini adalah kunci kepada pertumbuhan dan kejayaan berterusan industri penerbangan kita.”

Semasa majlis tersebut, MAVCOM juga turut berkongsi perkembangan terkini mengenai Papan Pemuka Prestasi Syarikat Penerbangan dan Lapangan Terbang yang dipertingkatkan, yang dijadualkan untuk dilancarkan pada 1 April 2025 di laman sesawang MAVCOM, www.mavcom.my.

Papan pemuka interaktif ini direka untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai data prestasi utama industri penerbangan, termasuk prestasi ketepatan masa penerbangan (OTP) dan pembatalan penerbangan, serta pelbagai penunjuk prestasi lapangan terbang yang sejajar dengan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (QoS), yang menilai piawaian perkhidmatan di lapangan terbang Malaysia.

Papan pemuka yang dipertingkatkan ini dibangunkan bagi meningkatkan ketelusan, pemantauan dan analisis prestasi industri, sekali gus memperkukuh akauntabiliti dalam kalangan pengendali penerbangan. Melalui data ini, MAVCOM berhasrat untuk memperkasakan pihak-pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian industri penerbangan Malaysia serta membantu pengguna membuat keputusan berdasarkan penunjuk prestasi yang boleh dipercayai.

Papan pemuka ini juga akan menampilkan data prestasi penerbangan yang lebih komprehensif, merangkumi maklumat mengenai syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa. Selain itu, ia akan menyoroti punca kelewatan dan pembatalan penerbangan serta trend prestasi syarikat penerbangan yang beroperasi dari lapangan terbang Malaysia.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, berkata bahawa pelaksanaan papan pemuka ini adalah langkah ke arah memperkukuh industri penerbangan Malaysia ke arah kawal selia kendiri yang lebih berkesan.

Beliau berkata, “Matlamat utama kami adalah untuk membangunkan industri penerbangan yang lebih berdikari dan mengamalkan kawal selia kendiri. Dengan berbuat demikian, kami bukan sahaja dapat menangani aduan pengguna penerbangan dengan lebih berkesan, tetapi ia juga dapat mengurangkannya secara keseluruhan. Pengurangan aduan merupakan petunjuk kukuh bahawa industri semakin matang, dengan keutamaan yang diberikan kepada kepuasan pengguna penerbangan dan kecemerlangan operasi. Kami sedar bahawa usaha ini tidak boleh dilakukan secara bersendirian, dan ia memerlukan sokongan serta kerjasama berterusan daripada pihak-pihak berkepentingan industri. Oleh itu, kami amat menghargai kerjasama yang telah diberikan.”

Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM)
Privacy Policy