KUALA LUMPUR, 21 July 2025 – Susulan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan Malaysia pada 23 Jun 2025, rasionalisasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
Sebagai sebahagian daripada peralihan ini, fungsi serta tanggungjawab sedia ada MAVCOM akan diambil alih oleh CAAM, selaras dengan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 [Akta 856].
Kekalan Operasi Platform Pengguna
Semua platform pengguna akan terus beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh peralihan dan selepas 1 Ogos 2025. Pengguna boleh terus mengemukakan aduan mengenai syarikat penerbangan dan lapangan terbang melalui laman web serta aplikasi mudah alih FlySmart yang sedia ada:
- Laman web FlySmart: www.flysmart.my
- Aplikasi mudah alih FlySmart: Boleh dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store
- Borang aduan atas talian: www.flysmart.my/buat-aduan/
- Talian hotline pengguna:
- Dalam Malaysia: 1800-18-6966
- Luar negara: +603-7651 2777
(Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), 8.30 pagi – 5.30 petang)
Sebarang kemas kini berhubung maklumat perhubungan akan dimaklumkan melalui saluran-saluran rasmi CAAM.
Urusan Berkaitan Industri
Mulai 1 Ogos 2025, CAAM akan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab ke atas semua fungsi pengawalseliaan dalam industri penerbangan awam negara. Tanggungjawab ini merangkumi, namun tidak terhad kepada pelesenan, peruntukan Hak Trafik Udara (ATR), pembangunan lapangan terbang, Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), hal ehwal ekonomi dan persaingan, serta pengawasan pengawalseliaan secara menyeluruh. CAAM turut akan mengurus dan menyelia platform digital seperti AeroFile dan AeroLicence bagi pemprosesan permit overflight/pendaratan serta urusan pelesenan. Pihak berkepentingan industri digalakkan untuk melayari www.caam.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini serta mengakses platform-platform tersebut.
Datuk Seri Hj. Saripuddin, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, menyatakan, “Keutamaan kami adalah untuk memastikan peralihan ini berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan kepada para pihak berkepentingan serta orang awam. Kelestarian dan pertumbuhan berterusan industri penerbangan Malaysia kekal menjadi fokus utama sepanjang proses ini.”
Beliau menambah, “Bagi pihak MAVCOM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Anggota Suruhanjaya dan Anggota Jawatankuasa terdahulu dan semasa, serta kakitangan MAVCOM. Dedikasi, profesionalisme dan usaha gigih mereka yang berteraskan prinsip integriti, profesionalisme dan kesaksamaan telah menjadi asas kukuh kepada pencapaian MAVCOM. Daripada merangka dasar penerbangan sehinggalah melindungi hak pengguna dan memacu pertumbuhan industri, komitmen mereka telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap landskap penerbangan negara.”
Beliau turut menyatakan, “Selain itu, saya mengucapkan setulus penghargaan kepada semua pihak berkepentingan atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang MAVCOM beroperasi. Tatkala kami bersedia untuk menutup lembaran ini, kami melakukannya dengan penuh tanggungjawab terhadap legasi yang ditinggalkan, serta keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan CAAM dalam meneruskan perjalanan ini.”
MAVCOM kekal komited untuk melaksanakan mandat dan tanggungjawabnya sehingga tarikh rasionalisasi.