KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menggesa pengguna penerbangan yang terjejas akibat pemberhentian operasi Jetstar Asia Airways (Jetstar Asia) supaya segera mengambil tindakan untuk mendapatkan bantuan secara langsung daripada syarikat penerbangan tersebut. Pengguna penerbangan juga boleh menghubungi MAVCOM melalui saluran rasmi MAVCOM yang tersedia bagi sebarang bantuan lanjut.
Nasihat ini dikeluarkan susulan pengumuman oleh Jetstar Group pada 11 Jun 2025 mengenai pemberhentian operasi terancang subsidiarinya yang berpangkalan di Singapura, iaitu Jetstar Asia. Syarikat penerbangan ini akan menamatkan operasinya secara rasmi pada 31 Julai 2025.
Pengguna penerbangan yang telah membuat tempahan dengan Jetstar Asia (3K) dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan tersebut melalui perkhidmatan Live Chat khas di www.jetstar.com atau rujuk kepada senarai pusat hubungan global mereka di https://www.jetstar.com/sg/en/help/contact-numbers untuk maklumat dan bantuan lanjut berkaitan tempahan mereka.
Menurut Jetstar, pemberhentian operasi ini tidak menjejaskan penerbangan Jetstar Airways (JQ), termasuk penerbangan antarabangsa antara Australia dan Asia Tenggara, mahupun penerbangan Jetstar Japan (GK). Di Malaysia, penerbangan terjejas yang dikendalikan oleh Jetstar Asia adalah dari Singapura, ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Jetstar turut memaklumkan bahawa pelanggan akan diberitahu secara langsung sekiranya terdapat sebarang perubahan kepada penerbangan yang dijadualkan sebelum 31 Julai 2025. Ini susulan pengurangan secara berperingkat dalam jadual penerbangannya sebagai persediaan untuk menamatkan perkhidmatannya. Pengguna penerbangan dinasihatkan untuk memantau e-mel dan status tempahan masing-masing, serta menyemak bahagian makluman perjalanan di laman web Jetstar dari semasa ke semasa untuk mendapatkan perkembangan terkini.
Selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), pengguna yang terjejas akibat pemberhentian operasi ini berhak menerima pilihan berikut:
- Bayaran balik kos tiket sepenuhnya (termasuk cukai dan fi) dalam mod bayaran asal dalam tempoh 30 hari; atau
- Perubahan laluan ke destinasi akhir menggunakan keadaan pengangkutan yang setanding.
Sekiranya pengguna penerbangan yang terjejas tidak menerima mana-mana pilihan ini dari Jetstar Asia (3K) atau memerlukan bantuan lanjut, mereka digalakkan untuk menghubungi MAVCOM melalui saluran rasmi berikut:
- Talian pengguna: +1800-18-6966 (Dalam Malaysia) atau +603-7651 2777 (Luar Malaysia)
- E-mel: consumer@mavcom.my
- Borang aduan FlySmart: https://flysmart.my/make-a-complaint/
- Aplikasi mudah alih FlySmart yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store bagi pengguna Android dan iOS.
MAVCOM kekal komited dalam melindungi hak pengguna pengangkutan udara dan akan terus memberikan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terkesan akibat penamatan penerbangan Jetstar Asia.