-A  +A          

Good Day! Sunday, 17 August 2025

MAVCOM Laporkan Pemulihan Berterusan Dalam Trafik Penumpang Udara bagi November 2024

Jumlah Penumpang Tahunan Setakat November 2024 Mencapai 88.3 Juta dengan Perjalanan Antarabangsa Menjadi Pemacu Pertumbuhan Utama

KUALA LUMPUR, 2 Januari 2025 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini mengumumkan statistik terkini trafik penumpang udara bagi November 2024, yang menunjukkan pemulihan dan pertumbuhan berterusan dalam sektor penerbangan Malaysia.

Trafik penumpang udara bagi November 2024 mencapai 8.0 juta penumpang. Ini menunjukkan peningkatan kukuh sebanyak 15.8 peratus tahun-ke-tahun (YoY) berbanding November 2023, walaupun terdapat sedikit penurunan sebanyak 0.5 peratus bulan-ke-bulan (MoM) berbanding Oktober 2024. Jumlah penumpang pada bulan November mencatatkan 88.7 peratus daripada trafik yang direkodkan pada November 2019, kekal dengan trend pemulihan yang konsisten yang dilihat sepanjang tahun 2024.

Pertumbuhan YoY ini didorong terutamanya oleh lonjakan dalam perjalanan antarabangsa, disokong oleh pembukaan laluan baharu dan peningkatan kapasiti tempat duduk. Manakala, penurunan kecil MoM mencerminkan penyesuaian perjalanan bermusim, di mana pengguna penerbangan cenderung menunda perjalanan untuk memanfaatkan cuti sekolah pada bulan Disember.

Trafik penumpang udara domestik pada November 2024 menyumbang 47.5 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang udara, dengan 3.8 juta penumpang. Angka ini menunjukkan peningkatan 10.9 peratus YoY berbanding November 2023, walaupun terdapat penurunan 1.6 peratus MoM berbanding Oktober 2024. Trafik penumpang domestik mencapai 83.3 peratus daripada paras yang dicatatkan pada November 2019, mencerminkan pemulihan yang stabil dalam sektor penerbangan.

Trafik penumpang udara antarabangsa mencatatkan 4.2 juta pada November 2024, mencerminkan peningkatan sebanyak 20.7 peratus YoY dan kenaikan 0.5 peratus MoM. Jumlah trafik ini mencapai 94.1 peratus daripada trafik penumpang antarabangsa yang direkodkan pada November 2019. Pertumbuhan ini didorong secara seimbang oleh rantau ASEAN dan bukan ASEAN, masing-masing menyumbang 2.1 juta penumpang. Trafik ASEAN merekodkan peningkatan 13.5 peratus YoY, manakala trafik bukan ASEAN melonjak dengan ketara sebanyak 28.9 peratus YoY.

Lapangan-lapangan terbang utama di Malaysia turut menunjukkan pertumbuhan YoY yang memberangsangkan pada November 2024 bagi laluan domestik dan antarabangsa. Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) mencatatkan peningkatan 18.2 peratus, diikuti oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dengan kenaikan 13.2 peratus, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB) dengan kenaikan 14.9 peratus. Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) merekodkan pertumbuhan 8.1 peratus, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) masing-masing mencatatkan peningkatan YoY sebanyak 9.7 peratus dan 12.8 peratus. Seterusnya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) mencatatkan pertumbuhan YoY tertinggi, iaitu sebanyak 42.1 peratus.

Pengenalan laluan antarabangsa baharu pada bulan November merupakan salah satu pemacu utama keseluruhan pertumbuhan trafik. Laluan baharu ini termasuk Kuala Lumpur ke Dalat (Vietnam), Nairobi (Kenya), Sri Vijaya Puram (India), dan Chiang Rai (Thailand), serta Kota Kinabalu ke Kota Kaohsiung (Taiwan) dan Shantou (China). Penambahan kapasiti tempat duduk di laluan-laluan utama turut menyokong pemulihan sektor penerbangan, dengan trafik antarabangsa terus mengatasi perjalanan domestik.

Sepanjang 11 bulan pertama tahun 2024, jumlah trafik penumpang mencapai 88.3 juta penumpang, meletakkan Malaysia di landasan yang tepat untuk mencapai unjuran trafik penumpang MAVCOM bagi sepanjang tahun, iaitu antara 95.4 juta hingga 97.6 juta penumpang.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata, “Jumlah trafik udara bagi bulan November menekankan pertumbuhan positif yang telah kita saksikan sepanjang tahun 2024 dalam sektor penerbangan Malaysia, dengan kesalinghubungan antarabangsa memainkan peranan penting. Pengembangan laluan baharu dan peningkatan kapasiti secara konsisten telah mengukuhkan kesalinghubungan udara antarabangsa Malaysia. Kami yakin momentum ini akan berterusan pada tahun 2025. MAVCOM kekal komited untuk memacu industri penerbangan yang mampan dan berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor penerbangan, dan memastikan hak pengguna penerbangan senantiasa dilindungi.

Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM)
Privacy Policy