-A  +A          

Good Day! Thursday, 14 August 2025

Prosiding pelanggaran Akta

Prosiding pelanggaran Akta

Prosiding pelanggaran Akta

Salah satu daripada tanggungjawab CAAM adalah untuk menyiasat sebarang pelanggaran larangan terhadap perlakuan antipersaingan, misalnya perjanjian antipersaingan, penyalahgunaan kedudukan dominan dan percantuman/jangkaan percantuman yang menyebabkan pengurangan persaingan yang substantial dalam mana-mana pasaran perkhidmatan penerbangan.

Penyiasatan

CAAM akan menjalankan siasatan jika terdapat sebab untuk mengesyaki bahawa wujudnya sebarang pelanggaran suatu larangan perlakuan antipersaingan. Jika anda mengetahui akan kewujudan apa-apa pelanggaran undang-undang persaingan dalam pasaran perkhidmatan penerbangan, anda boleh mengemukakan aduan bertulis kepada CAAM dengan mengisi Borang Aduan dan mengemukakannya kepada CAAM melalui competition@mavcom.my, bersama-sama dengan sebarang dokumen sokongan atau maklumat untuk membuktikan aduan anda. Setelah menerima aduan, CAAM akan menjalankan pemeriksaan awal sebelum memutuskan sama ada ia akan memulakan penyiasatan rasmi atau tidak.

CAAM mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan berkenaan dengan langkah-langkah interim semasa penyiasatan sedang berlangsung di bawah keadaan yang tertentu bagi menghalang kerosakan serius dan tidak boleh dibaiki, atau melindungi kepentingan awam. Sebelum langkah interim diambil oleh CAAM, orang yang diadu akan dimaklumkan dan diberi peluang untuk membuat representasi bertulis.

Dapatan siasatan dan tindakan-tindakan

Apabila proses siasatan selesai, CAAM akan memberi notis tentang keputusannya kepada semua pihak yang terbabit. Jika CAAM membuat keputusan bahawa terdapat pelanggaran suatu larangan di bawah Bahagian VII Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, ia akan menghendaki supaya pelanggaran itu dihentikan dengan serta-merta. Ia juga boleh menyatakan langkah-langkah untuk menghentikan pelanggaran tersebut dan mengenakan penalti kewangan terhadap perusahaan terbabit. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Garis Panduan mengenai Penentuan Penalti Kewangan.

Sebarang pihak yang terjejas dengan dapatan pelanggaran CAAM boleh memohon pengecualian daripada larangan tersebut dari Menteri Pengangkutan atas alasan kepentingan awam. Permohonan seumpamanya boleh dikemukakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis keputusan CAAM.

Mana-mana orang atau badan yang terkilan dengan keputusan CAAM boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan tersebut diumumkan.

CAAM boleh membawa prosiding di hadapan Mahkamah Tinggi terhadap sesiapa yang tidak mematuhi arahan atau keputusannya.

Kelonggaran

CAAM boleh menawarkan kelonggaran terhadap perusahaan yang telah mengaku penglibatannya dalam suatu pelanggaran dan membantu CAAM secara signifikan dalam penyiasatan pelanggaran lain. Jumlah pengurangan yang boleh ditawarkan kepada sesebuah perusahaan mengikut rejim kelonggaran bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk peringkat dalam penyiasatan apabila perusahaan tersebut membuat pengakuan tentang penglibatannya dalam suatu pelanggaran dan memberi maklumat atau kerjasama lain kepada CAAM.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Garis Panduan mengenai Rejim Kelonggaran.Permohonan untuk kelonggaran hendaklah dibuat melalui borang dan cara yang ditetapkan yang berikut: Borang Permohonan untuk Kelonggaran.

Penggal 5 Bahagian VII, Bahagian XII & Bahagian XIII Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015

Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM)
Privacy Policy