Papan Pemuka Baharu Memberikan Analisis Prestasi Lebih Terperinci, Meningkatkan Ketelusan dan Akauntabiliti dalam Sektor Penerbangan Malaysia
KUALA LUMPUR, 5 May 2025 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini melancarkan Papan Pemuka Prestasi Syarikat Penerbangan dan Lapangan Terbang yang ditambahbaik, bertujuan untuk menyediakan analisis yang lebih menyeluruh dan terperinci kepada orang awam dan pihak berkepentingan industri mengenai prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang di seluruh Malaysia.
Tersedia di laman web rasmi MAVCOM (www.mavcom.my), papan pemuka yang ditambahbaik ini memperkenalkan ciri-ciri baharu dan skop data prestasi yang lebih luas, merangkumi operasi syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa di Malaysia. Ia memaparkan metrik mengenai Prestasi Tepat Masa (OTP), pembatalan penerbangan, pelbagai jenis dan sebab kelewatan serta pembatalan penerbangan, selain prestasi lapangan terbang yang sejajar dengan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang.
Prestasi syarikat penerbangan
Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan di Malaysia, MAVCOM memantau OTP bagi penerbangan domestik dan antarabangsa yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Malaysia. Ini termasuk AirAsia, AirAsia X, Batik Air, Firefly, Malaysia Airlines dan MASwings.
Syarikat penerbangan dikehendaki memastikan sekurang-kurangnya 85 peratus daripada penerbangan mereka setiap bulan berlepas dalam tempoh 15 minit dari Waktu Pelepasan yang Dijadualkan (STD).
Selain itu, syarikat penerbangan perlu mengendalikan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada penerbangan yang dijadualkan dan kadar pembatalan penerbangan bulanan tidak boleh melebihi 20 peratus. MAVCOM telah mula menerbitkan data prestasi bagi syarikat penerbangan Malaysia yang beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 1 dan Terminal 2 (KUL T1 dan T2) pada 15 April 2024, dan semenjak itu telah memperkenalkan penambahbaikan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan ketelusan maklumat tersebut.
Papan pemuka interaktif yang baharu dilancarkan ini kini menyediakan data yang lebih terperinci untuk pengguna penerbangan dan pihak berkepentingan. Penambahbaikan utama termasuk keupayaan pengguna penerbangan untuk mengakses data OTP dan pembatalan penerbangan bagi penerbangan yang berlepas dari pelbagai lapangan terbang di seluruh negara, melangkaui tumpuan sebelum ini yang hanya merangkumi KUL T1 dan T2.
Papan pemuka ini turut memaparkan maklumat terperinci mengenai pelbagai jenis kelewatan yang dialami oleh syarikat penerbangan Malaysia bagi penerbangan domestik dan antarabangsa. Begitu juga, data pembatalan penerbangan dikategorikan mengikut jenis dan sebab pembatalan.
Selain itu, pengguna penerbangan juga berpeluang untuk menganalisis trend OTP dan pembatalan penerbangan bagi penerbangan domestik dan antarabangsa yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Malaysia bagi penerbangan yang berlepas dari lapangan terbang di Malaysia.
Penambahbaikan penting lain pada papan pemuka ini ialah penyertaan data OTP dan data pembatalan penerbangan bagi syarikat penerbangan asing yang berlepas dari KUL T1 dan T2.
Sekiranya syarikat penerbangan gagal memenuhi sasaran pembatalan penerbangan yang ditetapkan, ia boleh menjejaskan permohonannya untuk memperbaharui perkhidmatan sedia ada atau untuk memohon Hak Trafik Udara (ATR) tambahan dengan MAVCOM. ATR diperlukan bagi mana-mana pemegang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) yang berhasrat untuk mengangkut pengguna penerbangan, mel, atau kargo secara berjadual untuk tujuan sewaan atau upah (hire or reward) antara 2 atau lebih lokasi, di mana sekurang-kurangnya 1 lokasi mesti berada di Malaysia.
Selain daripada metrik ini, syarikat-syarikat penerbangan juga diwajibkan untuk mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), yang menggariskan peruntukan bagi perlindungan pengguna penerbangan di Malaysia. Kegagalan untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan penalti kewangan dikenakan. Sehingga kini, MAVCOM telah mengenakan penalti kewangan berjumlah RM4.85 juta terhadap AirAsia Berhad, AirAsia X Berhad dan Batik Air.
Prestasi lapangan terbang
Papan pemuka ini turut memaparkan metrik dan keputusan prestasi lapangan terbang di bawah Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang. Rangka Kerja ini menetapkan piawaian dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi lapangan terbang yang bertujuan meningkatkan keselesaan pengguna, mengutamakan tahap perkhidmatan pengguna, serta meningkatkan pengalaman keseluruhan di kalangan pengguna dan komuniti lapangan terbang.
Lapangan terbang yang termasuk di bawah Rangka Kerja ini ialah: KUL T1 dan T2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Miri, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Lapangan terbang tersebut dinilai berdasarkan 4 kategori kualiti perkhidmatan, iaitu keselesaan dan kemudahan pengguna, masa penggiliran, aliran penumpang dan bagasi, serta kelengkapan pengendali dan kemudahan kakitangan.
Di KUL T1 dan T2, terdapat 28 elemen kualiti perkhidmatan yang dikaitkan dengan setiap kategori. Elemen-elemen ini mungkin berbeza bergantung pada infrastruktur, keperluan dan perkhidmatan khusus yang tersedia di setiap lapangan terbang. Penilaian dijalankan berdasarkan penilaian prestasi, ketersediaan peralatan dan kecekapan operator, menggunakan data yang disediakan oleh pengendali lapangan terbang serta disokong oleh pemeriksaan bebas dan tinjauan pengguna yang dilaksanakan oleh MAVCOM.
Melangkah ke hadapan, Rangka Kerja ini akan dilaksanakan di lebih banyak lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada tahun 2025. Pelaksanaan secara berperingkat untuk lapangan terbang lain akan diteruskan sehingga tahun 2027, dengan data dari lapangan terbang-lapangan terbang ini akan ditambah ke dalam papan pemuka secara beransur-ansur.
Sekiranya analisis MAVCOM terhadap prestasi lapangan terbang menunjukkan ketidakpatuhan terhadap sasaran yang ditetapkan di bawah Rangka Kerja ini, penalti kewangan akan dikenakan ke atas pengendali lapangan terbang. Penalti ini, berdasarkan peratusan hasil yang berisiko (revenue at risk), tidak akan melebihi 5 peratus daripada hasil aeronautik terkumpul pengendali lapangan terbang tersebut. Setakat ini, MAVCOM telah mengenakan penalti kewangan berjumlah RM4.1 juta ke atas Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di atas kegagalan mematuhi Rangka Kerja ini.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Pelancaran papan pemuka yang dipertingkat ini menandakan satu langkah penting ke arah mempromosikan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam industri penerbangan di Malaysia. Ia mempertingkatkan keupayaan untuk menjejak, menganalisis dan memantau keterlihatan prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang. Papan pemuka ini menawarkan gambaran prestasi industri yang menyeluruh dan interaktif, membolehkan pengguna menyesuaikan dan mengakses data spesifik yang diperlukan dengan mudah. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain industri, seperti syarikat penerbangan dan lapangan terbang – dengan menyediakan indikator prestasi yang jelas untuk meningkatkan tahap perkhidmatan mereka – malah ia turut memperkasa pengguna penerbangan untuk membuat pilihan yang lebih termaklum ketika memilih syarikat penerbangan pilihan mereka. Matlamat utama kami ialah untuk memupuk budaya akauntabiliti yang lebih tinggi dalam kalangan pengendali penerbangan. Dengan memanfaatkan alat berasaskan data ini, MAVCOM berhasrat untuk meningkatkan piawaian perkhidmatan dan mendorong penambahbaikan berterusan dalam sektor penerbangan Malaysia.
Akses papan pemuka melalui pautan berikut:
Prestasi Tepat Masa (OTP) Syarikat Penerbangan dan Keputusan Pembatalan Penerbangan
Keputusan Rangka kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang