Kerosakan peralatan bantu mobiliti
Sekiranya peralatan bantu mobiliti anda mengalami kerosakan, perjalanan penerbangan anda boleh menjadi sangat mencabar walaupun dengan sokongan kakitangan di lapangan terbang. Syarikat penerbangan anda bertanggungjawab untuk menjaga peralatan bantu mobiliti anda (seperti kerusi roda atau alat bantuan berjalan) yang anda perlu bawa semasa penerbangan.
Jika peralatan bantu mobiliti anda hilang atau rosak semasa penerbangan, syarikat penerbangan dikehendaki membayar pampasan kepada anda mengikut harga pasaran semasa peralatan anda.
Pengguna mempunyai pilihan untuk membuat tuntutan sama ada dengan syarikat penerbangan operasi atau syarikat penerbangan kontrak.
Ilustrasi
Ali memerlukan kerusi roda untuk bergerak dan telah membawa peralatan bantu mobiliti tersebut bersamanya untuk penerbangan beliau daripada Penang ke Kuala Lumpur. Setelah tiba, dia mendapati bahawa kerusi roda itu telah rosak dan tidak lagi boleh digunakan. Adakah Ali layak untuk mendapat pampasan ?
- Ali berhak untuk mendapat pampasan bagi kerusi roda yang rosak itu. Pampasan hendaklah berasaskan kepada harga pasaran kerusi roda tersebut.
- Ali juga perlu diberi kerusi roda gantian sementara pampasan sedang diproses.
Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian III, Perenggan 14: Hak Penumpang Pesawat Udara – Pampasan Bagi Kehilangan Atau Kerosakan Kelengkapan Mobiliti dan Alat Bantuan.